Skip to main content

Hargailah Mata - Tips Penjagaan

MATA banyak mempengaruhi kita. Ada yang dikurniakan mata bundar dan ada yang sepet. Ada juga yang memiliki sepasang mata bersinar dan tidak kurang memiliki mata yang tidak bermaya.

Apabila usia meningkat, mata – organ penting dalam kehidupan juga akan mula kabur. Bagi kebanyakan kita, apabila usia mencecah angka 50, ramai yang sudah berkaca mata kerana rabun jauh atau dekat atau kedua-duanya sekali. Ada juga yang sudah memakai cermin mata sejak muda.

Mata yang banyak terdedah kepada komputer biasanya lebih cepat rabun. Justeru, dalam sibuk menyiapkan kerja, beri juga tumpuan pada mata. Beri mata peluang untuk rehat dan jangan lakukan perkara yang boleh mempercepatkan penglihatan berkurangan.

Jika anda tidak pernah mengambil berat mengenai penjagaan mata, mengapa tidak mulai hari ini anda lakukan beberapa langkah untuk merehatkan mata. Mulakan dengan memandang ke atas untuk beberapa saat sebelum menjauhkan penglihatan daripada komputer anda. Berikan sedikit ruang untuk mata berehat. Anda juga boleh berdiri dan melakukan sedikit gerakan ringkas sebelum menarik nafas panjang.

Penggunaan lampu juga penting jika anda kerap membaca. Biasanya lampu untuk membaca tiga kali lebih terang daripada lampu di ruang tamu. Jangan membaca di tempat gelap. Duduk dengan tegak dan pastikan monitor komputer anda pada paras mata yang sesuai, bukan mendongak atau menunduk.

Bagus jika dapat menjarakkan pandangan daripada komputer 14 atau 16 inci. Jika menonton televisyen, pastikan anda duduk tegak dan pastikan jarak anda anda tujuh kali jauh dari televisyen. Jika menulis, pegang pen satu inci dari hujung jari jadi anda tidak perlu terlalu membongkok untuk melihat tulisan sendiri.

Pemakanan juga penting untuk mendapatkan mata yang sihat. Makanan tambahan dengan anti oksida dan botani memang popular sebagai sumber khasiat untuk mendapatkan mata yang sihat. Sesuatu yang menarik, pilihan warna pakaian juga sebenarnya mempengaruhi kesihatan mata. Warna hitam-kelabu dan hijau-kelabu misalnya memberi spektrum warna yang penuh tanpa herotan. Warna biru tidak sesuai untuk cahaya yang berserakan. Warna merah jambu dan kuning memberi lebih cahaya pada mata pada hari terang. Mereka yang berhadapan dengan katarak sepatutnya memilih warna dalam kelompok keperangan.

Kebanyakan kaca mata hitam yang ada di pasaran hari ini dihasilkan dengan perlindungan daripada sinaran UV termasuk ulta violet (UVA) dan visible spectrum (UVB). Sebelum membeli, pastikan anda tahu apakah jenis kaca mata itu.

Ada kaca mata yang masih kelihatan terang dalam terik matahari atau suram alam memiliki impak kelabu sepanjang masa disebabkan sinar UV dari lampu dalam rumah atau bangunan.

Untuk mereka yang bekerja menghadap komputer atau yang memandu pada malam hari, pemilihan kaca mata anti-imbasan akan lebih membantu.

Sebenarnya, tidaklah terlalu sukar untuk mengekal kesihatan mata dan penglihatan. Asalkan anda tahu apa yang terbaik dan lakukan yang terbaik, penglihatan tidak akan kabur dengan cepat.

Selalu ambil masa beberapa saat untuk merehatkan mata daripada menghadap komputer. Selalunya apabila tertekan, seseorang itu akan menahan nafas dan menyekat oksigen untuk sampai ke otak dan mata. Menarik nafas juga memberi rehat kepada badan dan mengurangkan tekanan.

Comments