Skip to main content

Kesan jangka masa tidur kepada mental

ADA orang tidur lama dan ada orang tidur sekejap. Antara mereka ini ada yang rajin dan produktif, tetapi tidak kurang juga sebaliknya — malas serta tidak tidak produktif.

Adakah jangka masa tidur boleh menentukan kerajinan dan produktiviti seseorang? Jawapannya ya dan tidak.

Ini bermaksud terpulang kepada individu berkenaan — berapa umurnya, apakah tabiat dan jadual tidurnya, apa dilakukan sepanjang hari dan bagaimana pemakanannya.

Ada pemimpin negara maju dan ilmuan yang berwibawa, hanya tidur lebih kurang lima jam saja setiap hari, tetapi sangat produktif dan cemerlang dalam kerjaya mereka.

Ada juga makluman bahawa mereka yang tidur terlalu lama mempunyai risiko tinggi dilanda pelbagai penyakit, terutama gangguan kardiovaskular seperti strok dan kanser, jika dibanding dengan yang tidur sekejap.

Makluman ini dibuat berdasarkan kajian yang menunjukkan mereka yang kurang tidur terdedah pada risiko badan menjadi gemuk dan penyakit kencing manis.

Oleh itu, kita turut menjadi keliru, apakah jangka masa tidur yang baik dan bagaimana untuk mendapat tidur berkualiti supaya kita boleh mengelakkan pelbagai gangguan kesihatan mental dan fizikal.

Apabila dibicarakan mengenai jumlah jam seseorang itu harus tidur, ia satu dimensi saja. Maksudnya, ada orang hanya perlu tidur sekejap tetapi mampu membuat sesuatu yang produktif dan ada juga yang perlu tidur lama, namun mereka juga boleh menghasilkan kerja bermutu.

Oleh itu, jumlah jam diperlukan seseorang untuk mendapat kepuasan tidur adalah berbeza. Kepuasan dan keselesaan tidur subjektif, hanya individu berkenaan dapat memberitahu sama ada dia mendapat jumlah jam untuk tidur dengan sempurna atau sebaliknya.

Kajian menunjukkan mereka yang mengalami insomnia, iaitu gangguan tidur (mereka berasa tidak selesa apabila bangun pagi) kerap memaklumkan mereka tidak mendapat jumlah jam secukupnya untuk tidur.

Namun, apabila diuji di makmal tidur, jumlah jam tidur mereka didapati lebih daripada dinyatakan. Ini bermaksud mereka yang mengalami insomnia kerap membuat anggapan rendah mengenai jumlah jam tidur mereka.

Berbalik pada isu tidur lama dan tidur sekejap. Yang dimaksudkan tidur lama adalah tidur melebihi sembilan jam pada waktu malam, manakala tidur yang kurang daripada enam jam dikatakan tidur sekejap.

Secara puratanya, kedua-dua angka ini adalah untuk golongan dewasa kerana kanak-kanak dan warga tua memerlukan jumlah waktu tidur berbeza.

Bayi dan kanak-kanak tidur lebih lama, manakala warga tua hanya memerlukan jangka masa tidur yang sedikit.

Ritma tidur bayi dan kanak-kanak berkait rapat dengan rembesan hormon pertumbuhan. Ritma tidur warga tua pula berkait rapat dengan sindrom fasa tidur atau dalam bahasa Inggeris disebut ‘advanced sleep phase syndrome’.

Seperti kita semua maklum, kualiti tidur dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk fizikal, mental dan spiritual. Oleh itu setiap orang akan menunjukkan reaksi dan tindak balas berbeza dari semasa ke semasa apabila ditanya mengenai kualiti tidur.

Sistem saraf

Namun, yang penting adalah tindak balas subjektif individu berkenaan. Jika dia berasa selesa dengan jumlah jam yang dia dapat tidur, dia seharusnya tidak perlu bimbang dengan status kesihatannya.

Andainya dia ingin ubah corak dan tabiat tidurnya, dia akan mengalami beberapa perubahan dalam rentak kitaran tidurnya untuk sementara waktu kerana sistem sarafnya perlu membuat penyesuaian.

Ini ada kaitan dengan kajian yang menunjukkan mereka yang sengaja dikurangkan jumlah tidurnya didapati mengalami peningkatan keletihan. Selain itu, ada juga perubahan molekular yang menyebabkan perubahan pada gen, peningkatan kortisol, aktiviti di lobes frontal meningkat, daya kognitif menurun serta ada perubahan struktur pada hipotalamus.

Semua ini menunjukkan jika seseorang cuba ubah ritma tidurnya, sama ada untuk menambah atau untuk mengurang jumlah jam tidurnya, dia pasti mengalami perubahan dalam sistem sarafnya untuk sementara waktu kerana sistem itu akan membuat penyesuaian sewajarnya.

Dalam kajian yang dibuat di sini, didapati ramai orang berpendapat mereka memerlukan antara tujuh dan lapan jam untuk tidur secara selesa setiap malam.

Namun, bagi yang mengalami gangguan kesihatan fizikal seperti kegagalan jantung dan ginjal atau gangguan mental seperti keresahan dan kemurungan, mereka kerap menyatakan kurang tidur (daripada jumlah jam dinyatakan). Ada juga yang berkata mereka tidur lebih lama daripada itu.

Walau apapun masa tidur dialami, perkara yang penting adalah perasaan individu itu terhadap dirinya. Jika seseorang itu mengantuk, lebih baik dia tidur daripada cuba melawan perasaan mengantuknya. Ini kerana ia boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak diingini.

Perasaan mengantuk bukan tanda malas. Individu yang produktif dan sihat daripada aspek fizikal dan mental sesungguhnya mahir mengendalikan masanya dengan teratur.

Dia tahu jumlah jam yang dia perlu tidur, bila dia perlu masuk ke kamar tidur untuk berehat dan bila perlu bangun serta berkerja untuk mencari nafkah.

Individu ini prihatin terhadap pemakanan yang diperlukan, tahu mengenai kebaikan makanan seimbang, membabitkan diri dengan riadah dan menjauhi perkara yang boleh mengganggu-gugat kesihatan dan keselamatan dirinya.

Oleh itu, bukan jumlah jam tidur semata-mata yang menentukan panjang atau pendek umur seseorang, mudah atau sukar diserang penyakit. Yang lebih penting adalah perasaan selesa, ketenteraman jiwa serta kepuasan diri bahawa dia sudah membuat sesuatu yang produktif dan berjaya dalam kerjaya dan tanggungjawabnya.

Ini bermaksud kualiti dan kuantiti tidur adalah satu fenomena istimewa, ia boleh menjadi satu isyarat kepada kita, sama ada kita hidup selesa atau sebaliknya.

Justeru, pembaca tidak perlu tergesa-gesa membuat perubahan secara mendadak terhadap tabiat tidur mereka hanya dengan membaca hasil kajian kerana mereka harus lihat secara keseluruhannya mengenai faedah atau kesan sampingan yang boleh berlaku mengenai jangka masa tidur lama atau sekejap.

Mudah-mudahan dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap positif yang kita ada, kita boleh mempertingkatkan lagi kualiti hidup kita.

Comments