Skip to main content

Panduan Penjagaan Kesihatan: Persediaan sebelum lakukan senaman

BERSENAM amat penting bagi mengekalkan kecergasan dan menjamin keadaan kesihatan yang terkawal. Bersenam meningkatkan stamina seseorang, mengurangkan tekanan darah, mengurangkan rasa cemas dan amat baik untuk kesihatan keseluruhannya.

Apapun, sebelum memulakan program bersenam adalah amat penting bagi mereka yang mempunyai masalah tekanan darah untuk mendapatkan kepastian doktor masing-masing terlebih dulu. Senaman fizikal meningkatkan tekanan darah tetapi tidak banyak menurun tekanan keseluruhan. Mereka yang bersenam akan mencatatkan naik turun dalam paras tekanan darah.

Ini amat berbahaya kerana boleh membebankan tugas yang berlebihan terhadap jantung.

Sekiranya anda disahkan oleh doktor mempunyai masalah darah tinggi dan doktor membenarkan anda bersenam, ikuti beberapa panduan seperti berikut.

- Pastikan anda memulakan setiap sesi bersenam dengan gerakan memanaskan otot termasuk jantung. Permulaan mendadak melakukan senaman akan membebankan sistem kardiovaskular dan pernafasan. Kekalkan kadar pergerakan senaman pada paras rendah ketika melakukan senaman aerobik.

- Elakkan terlalu banyak melakukan pergerakan mengangkat tangan melebihi paras bahu kerana ini boleh meningkatkan tekanan darah.

- Sekiranya anda tidak pernah bersenam sebelum disahkan oleh doktor mempunyai tekanan darah tinggi, janganlah mimpi bahawa melakukan larian maraton ialah satu cara yang baik untuk mengatasi masalah kesihatan anda.

- Ingat, lakukan senaman sedikit demi sedikit. Bermula dengan perlahan sebelum meningkatkan kepantasan pergerakan bersenam.

- Elakkan juga senaman statik seperti isometrik yang menyebabkan anda terpaksa menahan nafas.

- Angkat berat juga perlu dielakkan kerana ia banyak membabitkan pergerakan cepat yang berulang-ulang. Ia menyebabkan seseorang itu terpaksa menahan nafas yang seterusnya membawa kepada tekanan darah tinggi.

- Berhati-hati apabila bernafas setiap kali melakukan senaman. Tarik nafas ketika melakukan pergerakan menurunkan anggota badan mengikut aliran graviti. Ini amat penting ketika melakukan sit up.

- Sesi senaman perlu berhenti secara beransur-ansur bagi membolehkan otot kardiovaskular dan sistem pernafasan untuk mengurangkan paras aktiviti. Menghentikan sesi senaman secara mendadak boleh menyebabkan banyak darah berkumpul di bahagian bawah anggota. Ini menyebabkan pengaliran darah ke otak dan jantung tersekat. Berikutan itu, anda berasa pening dan seolah-olah mahu pitam.

- Lakukan senaman kerana ia satu cara baik untuk mengurangkan tekanan. Berjalan jauh ialah satu cara yang baik bagi mengatasi kebimbangan serta melegakan otot tegang. Sekiranya anda berasa tertekan dan sering kecewa, besar kemungkinan tekanan darah anda akan meningkat. Yoga dan cara bersenam yang lain memberikan ketenangan amat penting untuk melegakan ketegangan dan mengurangkan paras tekanan darah.

Comments