Skip to main content

Pastikan Gosok gigi dua kali sehari

GIGI berfungsi untuk menggigit dan menghadamkan makanan. Untuk itu, penjagaan gigi perlu dilakukan setiap hari agar tidak cepat rosak dan berbau.

Ibu bapa juga perlu memastikan gigi anak mereka sentiasa baik dan bersih. Salah satu cara ialah menggalakkan anak menggosok gigi dua kali sehari.

Dalam hal ini, mengajar anak menggosok gigi adalah tanggungjawab yang sering dilengah-lengahkan ibu bapa kerana amalan itu sangat penting dan berkait rapat dengan sikap dan tabiat.

Anda seharusnya mengajar anak menggosok gigi seawal mungkin malah ada persatuan doktor gigi yang menyarankan gigi atau mulut bayi dibersihkan beberapa hari selepas lahir.

Caranya mudah – setiap kali selepas makan, gunakan kain basah dan kesat pada gusinya. Cara ini membantu menghilangkan plak yang melekat pada gusi dan membiasakan anak-anak supaya sentiasa menjaga kebersihan gigi.

Biasanya gigi bayi akan mula tumbuh pada usia enam bulan. Di kalangan kita istilah gatal gusi digunakan merujuk pada tabiat suka menggigit ketika gigi bayi mula tumbuh. Apabila gigi mula tumbuh, gunakan kapas basah untuk menghilangkan plak. Jika anda menunggu hingga anak berusia setahun atau dua tahun sebelum mengajarnya menggosok gigi, agak sukar menghilangkan plak yang mula melekat.

Memang kebanyakan anak kecil akan melawan dan enggan menggosok gigi. Tapi sebagai ibu bapa anda harus bertegas memberitahunya kepentingan tabiat itu. Kerosakan gigi lebih mudah berlaku di kalangan kanak-kanak. Perkara asas yang boleh membantu anak-anak menggosok gigi dengan menjadikan amalan itu menyeronokkan. Contohnya benarkan dia menggosok gigi anda dan anda akan menggosok giginya pula.

Di pasaran ada pelbagai jenis berus gigi untuk kanak-kanak yang didatangkan dengan pelbagai warna dan dikemaskan dengan pelbagai watak kartun. Pilih satu yang anak ada gemar. Ia tentunya banyak membantu. Begitu juga dengan pemilihan ubat gigi. Jika boleh belikan ubat gigi khas untuk kanak-kanak kerana ubat gigi untuk dewasa kadang kala memiliki bau dan rasa yang tidak disenangi mereka.

Satu lagi yang penting, anda harus juga pastikan anda memiliki tabiat menggosok gigi yang betul dan baik. Jika anda tidak memiliki tabiat menggosok gigi yang betul dan tidak memiliki gigi yang cantik, bagaimana untuk mengajar anak anda untuk menggosok gigi?

Comments