Skip to main content

Sambutan Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia disambut gemilang



Buat julung-julung kalinya, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia disambut serentak hari ini dan diraikan dengan penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Dataran Merdeka sebagai lokasi utamanya.
Bertemakan "1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera", sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 pada tahun ini didominasi golongan belia yang merupakan peserta terbesar yang mengambil bahagian dalam persembahan kemerdekaan yang merangkumi empat segmen.

Kira-kira 10,000 peserta daripada pelbagai peringkat iaitu pelajar sekolah, guru, polis, tentera, kakitangan kerajaan dan swasta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan itu mula berkumpul seawal 5 pagi.

Acara sambutan dalam keadaan cuaca cerah bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 8 pagi.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah, selain menteri-menteri Kabinet.

Tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan seramai 54 orang generasi muda pelbagai kaum termasuk golongan kelainan upaya, diketuai oleh pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin, Klang, Muizzuddin Maarof, 18, yang diikuti dengan laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali dan "1Malaysia" sebanyak tiga kali.

Dataran Merdeka kemudiannya bertukar meriah apabila seramai 2,300 pelatih perguruan mempersembahkan nyanyian koir gubahan baru lagu Rukun Negara yang diterjemahkan melalui pergerakan formasi oleh 2,500 pelajar sekolah sekitar Selangor.

Persembahan padang dan jalan raya bertemakan "Kejayaan Transformasi 1Malaysia" turut berlangsung di Dataran Merdeka melibatkan 860 orang daripada kumpulan kesenian pelbagai jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kontinjen Generasi 1Malaysia Cergas pula mendahului acara perarakan perbarisan yang terdiri daripada 100 orang belia dengan iringan lagu "Malaysia Satu", diketuai oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohd. Rapiee.

Kontinjen seterusnya adalah Kontinjen Swasta yang menonjolkan kostum ala futuristik yang diketuai oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar, diikuti Kontinjen Komunikasi yang diketuai oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli.

Kontinjen Peladang, Petani, Penjaja dan Perikanan 4P turut mengambil bahagian membabitkan 308 anggota manakala 66 peserta Kontinjen Pengangkutan Awam-Teksi tampil dengan menaiki 54 buah teksi.

Menambah keindahan warna-warni sambutan adalah perarakan 32 kereta berhias yang menterjemahkan kejayaan Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi.

Sambutan kali ini juga membawa kelainan apabila buat pertama kalinya, hadirin dapat menyaksikan persembahan kawad dan tempur gabungan antara pasukan PDRM dan ATM, selain 10 unit pesawat pejuang TUDM turut menyerikan ruang udara Dataran Merdeka dengan formasi-formasi menarik.

Persembahan yang berlangsung kira-kira 1 jam 37 minit itu diakhiri dengan gabungan suara 5,541 peserta yang menyanyikan rangkaian lagu patriotik seperti Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera, Gemuruh, Jalur Gemilang, Tanggal 31 dan 1Malaysia Inspirasiku, dengan disertai barisan artis tempatan dan diiringi dengan pertunjukan luncur udara Jalur Gemilang.

















Comments