Punca dan Cara Merawat Katarak

RAWATAN awal katarak berupaya mengelakkan mata menjadi buta.
ADAKAH pandangan anda kabur, sukar membaca dan kerap menukar cermin mata? Atau, adakah pandangan anda teruk dalam cahaya terang dan paling ketara, anak mata menjadi putih?

Anda mungkin mengalami katarak iaitu sejenis kerosakan mata di mana kanta semula jadi menjadi berselaput atau berkabus. Cahaya yang tidak dapat menembusi kanta mata akibat keadaan berkeruh itu menyebabkan rabun dan lama-kelamaan berpotensi mengakibatkan kebutaan.

Bagaimanapun, rawatan awal berupaya menghalang penglihatan seseorang daripada langsung terjejas dan tidak dapat melihat sama sekali.

Jadi, sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti di atas, segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan mata lebih lanjut.

Siapakah golongan yang berisiko menghidap katarak?

Memandangkan katarak merupakan satu proses yang berlaku seiring pertambahan usia seseorang, mereka yang berusia lebih 60 tahun rentan kepada penyakit ini.

Di Amerika Syarikat, katarak menjadi penyebab masalah penglihatan di kalangan lebih separuh daripada rakyatnya yang berusia 65 tahun ke atas.

Bagi kalangan berkenaan yang berusia di antara 55 hingga 65 tahun, katarak menjadi punca utama hilang penglihatan.

Lain-lain faktor penyebab katarak adalah:

* Diabetes melitus; kandungan gula dalam darah menjadikan kanta kurang kenyal dan membentuk katarak

* Merokok

* Sinar ultraungu

* Kecederaan

* Dilahirkan dengan katarak (kongenital); katarak boleh berlaku pada bayi atau kanak-kanak sekiranya si ibu menghidap jangkitan penyakit seperti rubela semasa kehamilan.

Bolehkah katarak dirawat?

Menurut pakar oftalmologi dari United Kingdom, Dr. Paul Rosen, rawatan mungkin tidak diperlukan pada peringkat awal di mana penglihatan tidak terganggu.

``Keseluruhan rawatan bergantung kepada keterukan dan keperluan-keperluan penglihatan masing-masing.

``Pada peringkat awal, doktor mungkin menasihatkan pesakit untuk memakai cermin mata sahaja,'' katanya pada Kongres Oftalmologi Asia Pasifik (APAO) di Bandar Sunway, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, apabila kaca mata tidak lagi dapat membantu, katarak hanya dapat dikeluarkan melalui kaedah pembedahan dan digantikan dengan kanta tiruan.

Hanya pembedahan dapat dilakukan bagi menyelesaikan masalah kerana perubahan pencahayaan dalam kanta mata tidak dapat diubati.

Ubat cecair mata atau vitamin tidak dapat merawat katarak.

Dalam konteks ini, kemajuan besar telah dicapai dalam prosedur pembuangan katarak Aqualase yang menggunakan rumusan cecair bagi memecah dan membuang bahan semula jadi kanta katarak dengan selamat.

Aqualase merupakan hasil teknologi perintis Alcon yang berjaya dihasilkan melalui Sistem Visi Infiniti Alcon, sebuah syarikat penjagaan mata yang terkemuka di dunia.

Sempena APAO itu juga, satu lintas langsung pembedahan mata Aqualase dari Hospital Mata Tun Hussein Onn telah disiarkan kepada ratusan pakar mata.

Pakar bedah mata terkemuka dari Itali, Dr. Francesco Carones telah mengetuai pembedahan tersebut yang dianggap salah satu sistem paling cekap dan anjal pernah dicipta untuk membuang katarak mata.

``Berbanding kaedah biasa pembedahan pembuangan katarak menggunakan peralatan logam, Aqualase mengurangkan komplikasi seperti kesan pembakaran torehan dan pecahan kapsular.

``Masa yang diambil untuk melakukan Aqualase juga adalah setanding dengan kaedah sedia ada yang digunakan sekarang oleh pakar mata di seluruh dunia,'' kata Dr. Carones.

Menggunakan alat tunggal ini, para doktor kini mempunyai tiga pilihan untuk membuang katarak, instrumen pembedahan pembuangan katarak trimodal pertama di dunia.

Tiga pilihan berkenaan adalah:

* Pemecahan atau penyerpihan ultrasound yang lebih maju

* Kombinasi ultrasound dan osilasi (pergerakan, ayunan atau getaran yang teratur dari sisi ke sisi)

* Alat pencairan baru Aqualase Alcon.

Selain Aqualase, lain-lain teknik yang digunakan untuk membuang katarak ialah kanta intraokular (IOL) seperti Acrysof Natural & Acrysof ReStor.

Sementara itu, Acrysof Natural merupakan satu lagi teknologi baru kanta tiruan dengan keupayaan menuras sinar ultraungu dan sinar biru yang dapat memudaratkan mata manusia.

``Tinta kuning yang digunakan di dalam kanta Acrysof Natural juga tidak mengubah warna semula jadi objek-objek yang dilihat oleh pesakit mahupun menjejaskan kualiti penglihatan mereka.

``Kanta berkenaan turut menyediakan perlindungan daripada radikal bebas atau benda asing yang dapat merosakkan retina,'' kata salah seorang panel lain, Dr. Abhay Vasavada dari India.

Acrysof ReStor pula adalah suatu teknologi menakjubkan yang dapat memulihkan kemampuan pesakit melihat objek dekat dan jauh tanpa bantuan cermin mata atau kaca mata berkanta dwifokus, dengan lebih baik.

Kongres APAO diadakan dua kali setahun bertujuan menjalinkan hubungan rapat serta bertukar-tukar maklumat di antara para oftalmologi dan persatuan berkenaan di rantau Asia Pasifik.

Artikel Popular


Followers

Powered by Blogger.