Skip to main content

Langkah keselamatan elak kemalangan di rumah

IBU BAPA bukan saja perlu memastikan anak mereka tidak sakit, malah mengelakkan agar tidak cedera sama ada ketika bermain di dalam rumah atau di luar rumah.
Seorang bayi yang baru pandai merangkak, misalnya suka menarik kain alas meja. Bayangkan jika ada secawan kopi panas sehingga menyebabkan sebahagian tubuhnya melecur.

Dalam kejadian lain, seorang kanak-kanak perempuan cuba menghiburkan hatinya dengan memasukkan sebatang jarum ke suis elektrik, manakala seorang wanita terjatuh di dalam bilik air menyebabkan tulang pahanya patah.

Kemalangan di rumah boleh membunuh dan mencederakan mangsa. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak yang mempunyai naluri ingin tahu serta mahu mencuba sesuatu yang baru.

Namun, dengan sedikit pengetahuan dan langkah pencegahan, kemalangan itu dapat dielakkan. Dalam hal ini, ibu bapa dan pembantu rumah disyorkan mengetahui mengenai langkah keselamatan dan cara menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.

Pernah berlaku ibu bapa panik ketika anak mereka ditimpa kemalangan, contohnya terjatuh. Tindakan mereka ialah mengangkat kanak-kanak itu padahal mereka perlu tahu sama ada tulang patah atau sebaliknya.

Kerap kali nyawa yang dalam kecemasan berakhir dengan kematian disebabkan pengguna jahil mengenai aspek keselamatan dan langkah rawatan. Walaupun kemalangan itu adalah takdir Ilahi, namun sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan perlu ada supaya tidak panik apabila berlaku kecemasan.

Dalam hal ini, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Contohnya, jika ibu bapa mempunyai anak kecil, jangan biarkan mereka tidur dan bermain di tingkat atas katil bertingkat.

Ibu bapa perlu memastikan yang besi penghalang tingkat atas katil berkenaan selamat.

Langkah lain bagi mengurangkan kemalangan terhadap orang ramai dan kanak-kanak kecil ialah:

- Gantikan kain alas baru permaidani yang sudah lusuh dan baiki lantai yang rosak. Jangan letakkan tikar atau permaidani tebal di bawah tangga atau di permukaan lantai yang licin melainkan ia dilekatkan. Keringkan dengan segera air yang tumpah di lantai.

- Letakkan pagar yang selamat pada tiap-tiap hujung anak tangga. Pastikan tangga itu terang. Jangan sekali-kali meletakkan barang permainan dan barang lain yang mengganggu perjalanan di tangga berkenaan.

- Jangan biarkan anak anda berada di buaian yang diletakkan di atas meja atau tempat yang tinggi.

- Pastikan setiap tingkap bilik anda tertutup dengan selamat bagi mengelakkan anak terjatuh.

- Tentukan pintu yang menghala ke balkoni dikunci jika anak tidak diawasi. Pastikan pagar di balkoni menghalang anak terjatuh.

- Pastikan bayi diikat dengan selamat jika diletakkan di kerusi yang tinggi.

Di samping itu, kebakaran yang kerap berlaku di rumah berpunca daripada kelalaian seperti merokok di tempat tidur atau apabila mengantuk.

Ibu bapa juga jangan biarkan anak mereka bermain dengan mancis atau pemetik api, bunga api dan bahan mudah terbakar.

Ibu bapa jangan membiarkan makanan yang dimasak di atas dapur tanpa jagaan di samping tidak meletakkan bahan yang dimasak menarik perhatian kanak-kanak berhampiran tempat memasak. Ibu bapa juga perlu membersihkan ruang memasak dari minyak.

Comments