Kali
ini saya ingin berkongsi satu doa yang dibaca oleh Rasulullah saw
selepas solat subuh. Doa ini walaupun ringkas tetapi memenuhi keperluan
setiap individu muslim. Tanpa tiga perkara ini seseorang itu akan hidup
dalam kejahilan, tiada arah tujuan, kerugian dan penyesalan di dunia dan
akhirat. Doa tersebut dibaca setelah salam solat Subuh ini Petikan dari
Hadis Riwayat Sahih Ibn Majah ialah :
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً.
Maksud : “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amal yang diterima.”
Doa
yang agung ini amat bersesuaian dibaca kerana waktu pagi merupakan
permulaan hari bagi setiap insan memulakan kehidupannya. Setiap hari
seseorang akan keluar dari tempat tinggalnya untuk mendapatkan salah
satu daripada tiga perkara ini iaitu untuk mencari ilmu ( terutama bagi
pelajar), rezeki yang baik serta amal soleh yang diterima oleh Allah.
Tanpa
tiga perkara ini maka tiada guna seseorang itu meneruskan kehidupannya
kerana pasti dia akan terus berada dalam kemurkaan Allah bila berada
dalam keadaan jahil, memburu rezeki haram dan tidak melakukan amal
soleh.
Semoga
dengan pertambahan usia kita dan semakin menghampiri kematian,
kehidupan kita diisi dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri dan
dimanfaatkan oleh orang lain. Rezeki yang halal dan baik amat penting
disamping semua amalan yang dilakukan akan mendapat balasan pahala di
sisi Allah SWT. Berlindung dirilah dengan Allah Yang Maha Agung daripada
termasuk dalam golongan yang amalannya sia-sia dan ditolak oleh Allah
SWT.