Skip to main content

Tips Penjagaan Mata

Bukan mudah untuk mengekalkan kesihatan mata. Seharusnya kita memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penjagaan mata bagi mengekalkan deria penting itu berfungsi hingga ke usia tua. Ramai yang memakai kaca mata atau kanta lekap untuk memperbetulkan tahap penglihatan. Namun untuk mendapatkan ketajaman mata sebenar pada objek dilihat, mengekalkan kesegaran dan tampak menawan, mata memerlukan penjagaan kesihatan yang baik. Justeru,beberapa perkara perlu diambil perhatian bagi memastikan kesihatan mata terjamin terutama daripada kesan alam sekitar.

1. Memakai pelindung sinaran ultraungu (UV)
Cara mudah, namun efektif untuk menjaga keselamatan mata adalah dengan melindunginya daripada kesan sinaran UV dengan cermin mata hitam.
Cermin mata hitam membantu mengurangkan risiko mendapat katarak selain boleh mengelakkan debu yang menyebabkan jangkitan pada mata.
Tidak kira ketika beriadah, bekerja atau berenang, pemakaian pelindung mata itu penting bagi mengelakkan deria berkenaan rosak terlalu awal akibat habuk, sinaran UV, klorin atau garam.
Walaupun ramai yang tahu mengenai kebaikan pelindung mata seperti kaca mata hitam daripada kesakitan akibat sinaran UV masih ada yang tidak mahu memakainya kerana tidak selesa dan dianggap besar.
Selain penambah gaya, kaca mata hitam perlu dipakai terutama di bawah matahari terik atau persekitaraan tidak bersih bagi mengelakkan habuk, cebisan kaca, kayu atau logam terbang lalu memasuki mata, sekali gus menyebabkan kerosakan teruk selain mengalami ketidakselesaan.


2. Lakukan pemeriksaan

Berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan juga membantu mengekalkan kesihatan mata serta mengelakkan masalah kronik lain berlaku pada bila-bila masa.

Walaupun tidak mengalami masalah pada penglihatan mata, pemeriksaan doktor dapat membantu mengenal pasti tanda penyakit atau gangguan dialami dengan lebih awal.
Mungkin ada yang menganggap mata mereka sihat, namun perlu diingat hanya dengan melakukan pemeriksaan saja dapat menentukan tahap kesihatannya.

Jumpalah doktor mata secara rutin atau sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi melakukakn pemeriksaan jika tidak mengalami sebarang masalah.
Jika mempunyai mata sejak kecil, dapatkan pemeriksaan sekali dalam setahun manakala untuk penglihatan normal dan berusia sekitar 20-an, jumpalah doktor mata sekali dalam setahun.
Bagi mereka yang berusia 30-an, rutin pemeriksaan mata boleh dilakukan dua kali setahun dan umur yang memasuki 40-an hingga 50-an, dua atau empat tahun sekali berjumpa doktor sudah memadai.
Berbeza dengan mereka yang berumur 65 ke atas, jangan lupa untuk berjumpa doktor mata setiap dua tahun sekali.

Jika mempunyai sejarah keluarga yang memiliki masalah mata atau penyakit kronik lain yang boleh menjejaskan kesihatannya seperti kencing manis, pemeriksaan doktor akan memudahkan anda mengetahui seberapa kerap perlu melakukan pemeriksaan.


3. Amalkan diet sihat


Vitamin A baik untuk kesihatan mata yang boleh didapati daripada lobak merah. Selain itu, sayuran berdaun hijau seperti bayam dan kubis daun (kale) pula mengandungi lutein untuk membantu mengelakkan atau mengurangkan perubahan degeneratif dalam makula retina.
Amalan pengambilan asid lemak omega-3 yang terkandung dalam sumber ikan dan biji flaks dalam diet harian juga boleh membantu bertindak sebagai pelincir mata.


4. Beri masa untuk mata berehat


Terdedah dengan kilauan cahaya lampu dan warna pada komputer atau televisyen membuatkan mata letih dan memerlukan rehat secukupnya untuk memastikan ia dalam keadaan baik.
Bagi mereka yang memakai cermin mata disebabkan masalah rabun juga memerlukan waktu rehat lebih kerap. Ini sama seperti pemakaian kanta lekap kerana ia menghalang kelembapan mata, sekali gus menyebabkan mata menjadi kering.
Justeru, mata memerlukan masa untuk pulih tanpa gangguan daripada kanta lekap mahupun skrin komputer atau televisyen.
Jika ketajaman mata terjejas, cuba amalkan menonton televisyen dengan jarak jauh daripada biasa setiap hari untuk menjaga kesihatannya.
Bukan itu saja, solekan pada mata juga harus dibersihkan sebelum tidur walaupun kita terlalu letih untuk membersihkannya bagi mengelakkan masalah iritasi.