Skip to main content

Tanda-tanda Alahan Dan Cara Mengatasinya

ALAHAN boleh berlaku kepada sesiapa saja, tanpa mengenal usia dan bangsa. Alahan adalah satu istilah yang digunakan untuk menunjukkan bahawa seseorang itu alah terhadap sesuatu bahan termasuk makanan seperti ketam dan sotong.

Seseorang itu boleh mengalami alahan apabila tersedut atau terhidu bahan tertentu seperti habuk atau mengambil makanan yang boleh menyebabkan alahan terhadap mereka.

Tanda-tanda alahan :

1) Bersin.

2) Gatal-gatal hidung.

3) Hidung tersumbat.

4) Berhingus.

5) Mata terasa gatal-gatal.

6) Mata menjadi kemerah-merahan dan seperti menangis.

7) Kadangkala batuk.

8) Lelangit terasa gatal.

9) Nafas berbunyi.

Jika anak anda mengalami alahan, ada kemungkinan ia berpunca daripada dua faktor gabungan iaitu genetik ataupun persekitaran.

Sebagai ibu bapa, jika anda ataupun suami mempunyai sejarah alahan, ini menunjukkan bahawa kemungkinan bagi anak-anak anda untuk mengalami alahan adalah kira-kira 40 peratus tetapi jika kedua-duanya (ibu dan bapa) mengalami sejarah alahan, kebarangkalian untuk anak-anak pasangan itu mengalami alahan meningkat kepada peratus.

Selain faktor genetik, pendedahan terhadap persekitaran juga menjadi antara faktor penyumbang kepada masalah alahan di kalangan kanak-kanak. Kehadiran haiwan peliharaan, seperti kucing, anjing dan arnab di rumah sedikit sebanyak boleh meningkatkan risiko alahan terhadap golongan itu.

Bagaimanapun, apabila menyedari si kecil anda alah terhadap haiwan peliharaan berbulu, anda boleh mengatasi masalah itu dengan tidak lagi membela haiwan berkenaan.

Namun begitu, bagaimana pula jika ia tidak dapat dielakkan, contohnya, haiwan peliharaan itu boleh ditemui di pusat jagaan kanak-kanak, sekolah dan bulu haiwan peliharaan yang melekat pada pakaian kanak-kanak yang mempunyai haiwan peliharaan sendiri di rumah.

Selain haiwan peliharaan, lipas dan habuk permaidani juga boleh menyebabkan anak anda mengalami alahan. Bagaimanapun, keadaan ini boleh diatasi jika anda sentiasa menitikberatkan kebersihan di dalam dan di luar rumah dalam usaha mengurangkan masalah alahan.

Sebagai usaha memastikan anak anda tidak terdedah kepada masalah alahan, adalah lebih baik untuk memberinya susu badan atau susu soya sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama selepas dilahirkan selain melewatkan pemberian makanan pepejal kepada mereka (selepas berusia enam bulan).

Cara mengatasi dan mengawal alahan di kalangan kanak-kanak

1) Elak menggunakan permaidani.

2) Pastikan anda kerap menukar cadar di dalam bilik tidur.

3) Pastikan anda sentiasa menutup tingkat pada sebelah malam dan awal pagi untuk mengelak dan mengurangkan risiko pendedahan terhadap pencemaran udara.

4) Elakkan faktor yang boleh mendedahkan anak anda kepada masalah radang seperti bau-bauan atau pewangi dan asap rokok

Comments